Biasanya bila anak-anak yang sedang membesar tidak ada selera makan, ibu ayah akan sibuk membelikan suplemen yang dikatakan mampu merangsang selera makan si anak. Benarkah tindakan tersebut?
Benarkah anak-anak perlu diberi makanan tambahan seperti vitamin atau cukup sekadar menggalakkan mereka mengambil makanan berkhasiat semula jadi sahaja? Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat adalah perkara penting untuk memastikan anak-anak membesar dengan baik.
Oleh itu penting untuk ibu bapa memilih makanan yang sesuai untuk tumbesaran mereka. Kini terdapat pelbagai pilihan produk makanan dijual di pasaran sama ada yang mengandungi khasiat semula jadi atau produk yang langsung tiada khasiat untuk si kecil.
Sebaiknya kanak-kanak sedang membesar patut diberi makan lebih banyak serat, protein, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kurangkan pengambilan lemak terutama lemak tepu yang banyak terdapat dalam makanan ringan.
Jika anda ada terfikir untuk memberikan anak-anak makanan tambahan, ada beberapa perkara perlu diambil perhatian.
  1. Rujuk kepada doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu untuk mengelakkan daripada mengundang kesan sampingan tanpa anda sedari.

  1. Makanan tambahan atau suplemen yang akan diberikan kepada anak-anak anda perlulah diperbuat daripada bahan semula jadi yang sesuai dan selamat untuk mereka.

  1. Makanan tambahan seperti vitamin hanya diberikan bila anak-anak perlukan sahaja. Nutrien yang berlebihan boleh memberikan kesan kepada kesihatan anak anda kelak.

  1. Makanan tambahan atau suplemen yang diberi kepada mereka mengandungi spektrum nutrisi yang penuh mengikut kesesuaian umur mereka.

Vitamin dan mineral yang diperlukan anak-anak:
Vitamin A – Untuk kesihatan mata. Sumber daripada lobak merah, telur dan marjerin.
Vitamin B1 – Membekalkan tenaga kepada badan. Sumber daripada gandum, daging dan susu.
Vitamin B2 – Membekalkan tenaga. Sumber daripada susu, daging dan ikan.
Vitamin C – Meningkatkan pertahanan badan terhadap penyakit. Sumber daripada sayuran hijau dan buah-buahan sitrus.
Kalsium – Pembentukan tulang dan gigi. Sumber daripada susu, keju dan lain-lain produk tenusu.

Sumber: PA& MA