Isnin, 9 Jun 2014

Anak kurang berat

Masalah kegemukan atau obesiti dalam kalangan kanak-kanak memang sering dibincangkan oleh masyarakat. Pelbagai info dan panduan diberikan untuk mengelakkan atau mengawal anak yang ada masalah obesiti. 

Tetapi bagaimana pula dengan anak yang kurang berat badan? Berada di bawah paras berat badan ideal juga tidak elok untuk tumbesaran sihat kanak-kanak. Ibu bapa perlu tahu apakah berat badan ideal mengikut usia dan ketinggian anak mereka.

Kanak-kanak pada usia bawah enam tahun memang terkenal sebagai golongan yang aktif dan cerewet makan maka kebanyakan mereka mempunyai saiz badan yang kurus dan kecil. Hanya segelintir sahaja kanak-kanak yang tergolong dalam kelompokk kanak-kanak obesiti. Biasanya kanak-kanak obesiti memang mempunyai  tabiat semula jadi kuat makan.

Kerisauan ibu bapa terhadap anak yang terlalu kurus membuatkan mereka sering memaksa si anak makan dalam kuantiti yang banyak. Paksaan tidak boleh membantu menyelesaikan masalah ini sebaliknya ia hanya membuatkan anak anda tertekan. Bahkan memaksa makan makanan tinggi kalori juga boleh mengumpulkan lemak berlebihan dalam badan.

Sebenarnya apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini adalah memastikan keperluan tenaga dan nutrisinya dipenuhi. Ibu perlu menyediakan makanan yang berkhasiat mengikut keperluan nutrisi mereka seperti

*karbohidrat (nasi, roti, kentang, pasta untuk membekalkan tenaga dan membuat anak rasa kenyang),
*protein (telur, ikan, ayam, daging, susu, tauhu,  tempe untuk pertumbuhan badan, anti bodi dan sistem imun badan.
 *vitamin dan mineral (buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai sumber serat.
* lemak (untuk sumber tenaga dan zat bagi melarutkan vitamin A, D, E, K.

Selain pengambilan makanan mengikut piramid makanan, gaya hidup yang sihat turut menyumbang kepada peningkatan berat badan. Bukan sahaja anak yang terlebih berat badan disarankan aktif beriadah tetapi anak yang kurus juga perlu terus digalakkan aktif.  Bagaimanapun anak ini mesti dipastikan mendapat rehat yang cukup.
Sumber: Majalah Pa & Ma

Tiada ulasan:

Catat Ulasan