Isnin, 9 Jun 2014

Barang perlu di bawa untuk bersalin

Menghampiri proses melahirkan bayi, bakal ibu perlu membuat persiapan rapi untuk dirinya dan bayi yang dilahirkan. Selain persiapan mental dan emosi, anda juga perlu memastikan semua keperluan telah siap untuk anda dan bayi.
Biasanya apabila ibu hamil sudah memasuki usia kandungan 37 minggu, kelengkapan untuk dirinya ke hospital dan bayi yang bakal dilahirkan sudah sepatutnya disimpan dalam sebuah beg yang diletakkan di dalam kenderaan yang akan digunakan untuk ke hospital.
Pada bila-bila masa sahaja anda akan berasa sakit hendak bersalin dan keluar tanda-tanda melahirkan. Justeru dengan persiapan yang sudah dilakukan itu, ia memudahkan suami terus membawa anda ke hospital tanpa perlu kelam kabut mencari barang keperluan.
Sebelum itu pastikan anda membuat semakan dengan hospital pilihan anda untuk bersalin. Adakah mereka menyediakan keperluan asas untuk pesakitnya? Jika ada maka tidak perlulah anda bersusah payah membawa segala barang keperluan. Cukup sekadar membawa apa yang tidak disediakan sahaja. Bagaimanapun sekiranya ia langsung tidak menyediakan barang keperluan, maka pastikan anda membawa semua secukupnya.
Semak senarai cadangan barangan yang perlu bakal ibu bawa ke hospital untuk melahirkan anak selain barangan asas peribadi.
  1. Blaus menyusu yang longgar bagi memudahkan anda menyusukan bayi selepas bersalin.

  1. Sandal yang mudah disarung. Ia sangat diperlukan untuk memudahkan pergerakan anda ke tandas di hospital sama ada sebelum saat melahirkan dan selepas bersalin.

  1. Stoking tebal. Anda mungkin berasa sejuk saat melahirkan bayi semakin hampir dan pastinya diperlukan selepas bersalin kelak.

  1. Minyak urut. Ketika mengalami sakit kontraksi anda kemungkinan merasakan sakit pinggang atau punggung yang luar biasa. Untuk mengurangkannya, minyak urut boleh disapu di kawasan yang sakit dan urut perlahan-lahan.

  1. Coli penyusuan. Pastikan anda membawa coli yang mempunyai bukaan di hadapan untuk memudahkan proses penyusuan bayi baharu lahir.

  1. Seluar dalam. Pastikan anda membawa bekalan seluar dalam yang mencukupi.

  1. Pad ibu bersalin. Ia penting untuk kegunaan awal selepas kelahiran bayi yang pasti berlaku banyak pengaliran darah nifas.

  1. Tuala muka. Ketika sedang sakit kontraksi anda mungkin akan banyak berpeluh. Maka tuala kecil berguna untuk mengelap peluh bagi mengurangkan ketidakselesaan.

  1. Bantal. Mungkin anda perlukan bantal peribadi untuk memberi ketenangan ketika saat bergelut dengan kesakitan kontraksi. Bahkan ia juga berguna untuk anda bersandar semasa menyusukan bayi selepas melahirkannya.

  1. Makanan. Ketika sakit bersalin sedang menyerang, anda akan kehilangan banyak tenaga. Jadi bawalah makanan dan minuman yang dapat memberikan tenaga seperti kurma, roti penuh mil dan sebagainya.
Sumber :Majalah Pa & Ma

Tiada ulasan:

Catat Ulasan