Senaman memang banyak kelebihan. Fungsi dan kebaikannya memberi kelegaan kepada mental dan fizikal. Wanita disyorkan menunggu kira-kira enam minggu untuk mula bersenam selepas bersalin normal dan lapan minggu bagi yang bersalin menerusi pembedahan caesaraen. Bagaimanapun dapatkan pengesahan daripada doktor sebelum memulakan senaman.

Mulakan Dengan Regangan Ringan

Jika anda melahirkan secara normal dan tanpa sebarang komplikasi, maka proses regangan tidak rumit. Jadi, anda boleh mula melakukan senaman seawal sehari selepas anda bersalin. Lakukan senaman mudah yang tidak melibatkan tekanan, seperti membentang kaki.

Anda juga perlu meneruskan rutin senaman Kegel untuk menguatkan otot lantai pelvis. Jika bersalin secara pembedahan caesarean,  lebih baik menunggu sehingga berhenti pengaliran darah nifas dan menunggu doktor memberikan lampu hijau sebelum mula melakukan apa-apa bentuk senaman selepas bersalin.

Anda perlu memulakan setiap senaman dengan pergerakan memanaskan badan. Selain itu, pastikan sentiasa minum air dalam kuantiti yang banyak. Jangan lakukan senaman jika badan terlalu penat.

Variasi Senaman Untuk Mama
Senaman Perut:

Senaman bangkit tubi adalah  yang terbaik untuk otot abdomen dan menyingkirkan lemak berlebihan bahagian tersebut. Apabila melakukan bangkit tubi, pastikan anda menggalas badan dengan tikar lembut. Elakkan belakang badan terlalu rapat dengan lantai , terutama di kawasan lekukan belakang untuk mengelakkan kesakitan.

Senaman Kegel
Jika anda melakukan senaman ini sepanjang kehamilan, anda boleh terus melakukannya selepas kehamilan. Senaman Kegel, membantu untuk menguatkan otot lantai pelvik. Untuk melakukannya, anda hanya perlu kemutkan otot faraj seolah-olah anda cuba untuk menahan air kencing.  Biarkan kemutan tersebut selama beberapa saat dan lepaskan perlahan-lahan.

Berjalan Kaki
Berjalan kaki ialah salah satu senaman kardiovaskular yang baik kerana membantu anda membakar lemak. Berjalan cara terbaik untuk mendapatkan udara segar, membentuk kaki yang cantik dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhannya. Malah, berjalan merupakan senaman mudah tanpa memerlukan peralatan khas. Apa yang anda perlukan cuma sepasang kasut yang sesuai, cuaca baik dan kereta sorong bayi anda.

Aerobik
Jika berjalan kaki tidak sesuai untuk anda, bolehlah cuba senaman aerobik. Jika tidak mahu mendaftar di pusat-pusat senaman, lakukannya di rumah berpandukan rakaman video yang banyak di pasaran. Apabila lakukan di rumah, anda tidak perlu bimbang tentang bayi anda.

Berenang
Berenang juga senaman yang bagus untuk membentuk otot-otot anda daripada menggeleber dan menambah stamina. Tambahan pula, ia bukanlah senaman yang bertekanan tinggi yang tidak memerlukan perahan tenaga yang terlalu kuat.

Senaman juga mampu mengelakkan kemurungan di kalangan ibu-ibu. Senaman menggalakkan pengeluaran hormon serotonin dan dopamin yang membuatkan anda lebih tenang dan gembira.